Pandangan mata Ijat statik melihat ke luar tingkap bas yang sedang
dinaikinya. Bas ekspress Seri Maju itu sedang bergerak menuju ke destinasi yang
telah ditetapkan. Ijat duduk di atas single
seat sebelah kiri bernombor 7, penumpang di hadapannya merupakan seorang
lelaki yang mungkin berusia dalam 40 – an sedang tidur nyenyak hingga
mengeluarkan bunyi dengkuran yang berjaya menewaskan deruman enjin bas
tersebut. Namun Ijat sedikit pun tidak rasa terganggu atau menghiraukan dengkuran
lelaki tersebut.
Pandangannya masih ke arah luar tingkap bas, melihat
suasana di luar yang tiada apa – apa yang menarik pun sepanjang lebuh raya
utara-selatan itu. Hanya bukit bukau yang bersilih ganti dengan hutan dan
penghadang jalan di sepanjang jalan. Ijat sebenarnya bukan memberi perhatian
pun pada suasana di luar tingkap bas yang sering bertukar – tukar mengikut
pergerakan bas itu, tetapi dia sedang termenung memikirkan tentang sesuatu.
Sedang Ijat termenung tiba – tiba dia merasakan telefon bimbitnya bergetar,
lalu dikeluarkan telefon bimbit Blackberry
Q10 miliknya itu dari poket seluarnya. Di lihatnya ada satu BBM yang dihantar oleh kekasihnya iaitu
Ina yang bertanya, “Ijat, awk gi mane?
nape tak reply BBM sy? Sy risau...”. Ijat pun membalas BBM tersebut. “Maaf saya tak perasan awak BBM saya, saya on the way gi Kedah
ni..maaf sekali lagi sebab tak bagitahu awal – awal, sy betul2 ade hal mustahak nak kene
settle..just trust me ok..i`ll be ok
don`t worry tau..nanti dah settle
sy BBM awak k..now sy nak off data BB ni nak jimat bateri k..bye..love u..”. Tanpa menunggu
kekasihnya membalas, Ijat terus menutup data
internet di telefon bimbitnya.
Ijat tidak terus menyimpan semula Blackberry tersebut tetapi dia terus mengambil earphone dari dalam poket beg sendeng miliknya kemudian terus
dipasangkan ke Blackberry tersebut
dan ke telinganya. Setelah membuka music
player dalam Blackberry tersebut,
Ijat terus memasang lagu bertajuk stay
dari band bernama Estrella. Dia terus memejamkan mata
menikmati lagu tersebut sambil mengenangkan seseorang yang amat meminati lagu
tersebut. Orang yang menjadi tujuannya menaiki bas untuk ke Kedah pada hari
ini. Orang ini amat bermakna pada dirinya dan amat dirindui olehnya. Orang
tersebut ialah Nurul iaitu satu – satunya kakak yang dia ada di dunia ini.
Setiap kali dia mendengar lagu stay ini pasti memorinya mengenai kakaknya itu akan menggamit
memorinya. Dia masih ingat lagi pertama kali dia mendengar lagu ini ialah pada
tahun 2008 di bilik kakaknya apabila kakaknya memasang cd album band Estrella yang baru dibeli ketika itu dan
Ijat ketika itu baru berusia 14 tahun. Kakaknya sering kali memberitahunya
bahawa dia sangat teruja dengan nyanyian Liyana Fizi iaitu vokalis band
tersebut dan teringin sangat nak tengok persembahan band ini secara live. Ijat dan kakaknya sangat rapat,
dan kakaknya juga terlalu menyayangi Ijat lebih dari dua orang lagi abangnya,
mungkin kerana Ijat anak bongsu dalam keluarganya. Semua masalah yang
dihadapinya di sekolah akan diceritakan kepada kakaknya. Pada ijat, hanya
kakaknya seorang sahaja orang yang paling dipercayainya malah menyayanginya.
Ijat merasakan dia sangat beruntung kerana mempunyai seorang kakak yang paling
baik di dunia.
Namun segalanya berubah pada tahun 2010, ketika Ijat
berusia 16 tahun. Kakaknya telah menghilangkan diri tanpa khabar berita setelah
berlaku satu pertelingkahan besar antara kakaknya dengan bapanya. Ijat masih ingat,
pergaduhan itu berlaku gara – gara orang tuanya melarang kakaknya dari terus
bercinta dengan Imran kekasihnya. Ijat memejamkan mata dan terus mengimbas
kembali kejadian tersebut. Pada malam di dalam bulan Januari tahun 2010 itu
sedang asyik Ijat mendengar lagu Viva la
Gloria! dari cd album band paling
digemarinya iaitu Greenday, tiba –
tiba dia terdengar suara ayahnya sedang menengking seperti marah akan sesuatu.
Terkejut dengan suara ayahnya itu Ijat terus menutup radio yang sedang
memutarkan cd album 21st Century
Breakdown dari band Greenday tersebut dengan serta merta dan
bergegas keluar dari biliknya menuju ke ruang tamu untuk melihat apa yang telah
terjadi.
Sesampai sahaja di ruang tamu rumahnya Ijat terkejut
melihat ibunya sedang menangis sambil ditenangkan oleh abangnya manakala
ayahnya sedang bertelingkah dengan kakaknya. “Apa kau memang mau conteng arang
ke muka aku ni Nurul? Berapa kali aku nak ulang baru kau faham? Aku tak suka
kau kawan dengan budak tu!”, tengking ayahnya. Ijat melihat kakaknya sedang
mengusap pipi serta mata kakaknya juga bergelingan air mata, tapi kelihatan
sedang menahan geram. Tahulah Ijat bahawa ayahnya telah menampar kakaknya,
namun Ijat tak berani ikut campur maka dia hanya mengambil keputusan melihat di
tepi sahaja, namun dia berasa sayu melihat kakaknya sedemikian rupa. “Ayah
selalu nak atur hidup Nurul, kenapa ayah tak mau nak dengar kemahuan diri
Nurul? Selama ni Nurul dengar saja telunjuk ayah, semua benda Nurul buat untuk
jaga hati ayah dan keluarga tapi takkan sampai soal jodoh Nurul pun ayah nak
aturkan?”, kata kakaknya tegas walaupun sambil menangis. Barulah Ijat faham
punca sebenar pergaduhan kakak dan ayahnya ketika itu, inilah kali pertama Ijat
melihat kejadian serupa ini secara realiti, selama ini dia hanya melihat adegan
sebegini di dalam drama – drama melayu di siaran televisyen.
Ayahnya yang semakin berang mengherdik kakaknya, “Anak
tak kenang budi! Kenapa kau susah sangat nak faham ni? Anak Haji Kassim tu baik
orangnya, ustaz pula tu, aku aturkan nak jodohkan kau dengan dia untuk kebaikan
kau juga. Sejak kau berkawan dengan budak tu aku tengok kau dah banyak berubah
Nurul! Aku tak mau kau hanyut dengan budak Imran tu. Budak tu tak sesuai untuk
kau Nurul!”. Mendengar kata – kata
ayahnya itu membuatkan Nurul berang dan nekad menjawab, “Nurul tak cintakan si
ustaz tu, Nurul cintakan Imran seorang sahaja, apa nak jadi pun jadilah, Nurul
tetap dengan keputusan Nurul!”. Sejurus itu dia terus berlari masuk ke biliknya
dan pintu ditutup dengan kuat dan Ijat sangat terkejut kerana inilah juga kali
pertama dia melihat kakaknya berkelakuan sedemikian. Ayahnya yang terlalu geram
tu terus marah – marah dengan kelakuan anak sulungnya itu namun segera cuba
ditenangkan oleh Kamal iaitu anak keduanya yang menyuruhnya bersabar kerana
risau darah tingginya akan naik jika dia berterusan marah sedemikian.
Setelah keadaan tegang itu reda, Ijat kembali ke biliknya
dengan perasaan yang agak sayu melihat ayah dan kakak kesayangannya bertengkar sebentar
tadi. Ijat menghidupkan semula suis radionya, cd Greenday kembali dibiarkan berputar tapi kali ini dia memilih untuk
mendengar lagu bertajuk Restless Heart
Syndrome yang dirasanya kena dengan perasaannya kini dan terus diulangnya
lagu itu beberapa kali. Lagu itu tidak benar – benar didengarinya setelah
beberapa kali diulangnya kerana fokusnya kini telah beralih kepada benda lain,
di dalam kepalanya masih memikirkan perubahan mendadak kakaknya, semua ini
sejak kakaknya berkenalan dan bercinta dengan lelaki bernama Imran. Ijat juga
menyedari perubahan tersebut dan paling jelas sekali sekarang kakaknya sudah
jarang berborak atau memberi perhatian kepadanya walaupun dalam soal
pelajarannya di sekolah. Pendek kata sejak kakaknya bercinta dia jarang dapat
bersemuka dengan kakaknya dan kakaknya juga sudah pandai keluar malam. Ijat
merasakan dirinya bagaikan kehilangan seorang kakak dan teman baik dan selang
seminggu setelah berlaku beberapa kali lagi pertengkaran antara kakaknya dan
ayahnya. Kali ini Ijat benar – benar telah kehilangan kakak yang sangat
dikasihinya.
Kakaknya lari dari rumah menghilangkan diri malah satu nota
atau surat pun tidak ditinggalkan, nombor telefon juga ditukar. Ijat dan
keluarganya sangat – sangat bersedih dengan tindakan yang diambil oleh kakaknya
dan berusaha juga mencarinya namun tidak berhasil. Paling mengejutkan ialah
rakan sekerja kakaknya ada mendengar khabar bahawa Nurul telah ikut Imran
kahwin lari, hal ini sampai ke telinga ayah Ijat dan dia sangat marah kerana
tindakan anak sulungnya itu sangat memalukan keluarga dan menconteng arang ke
muka mereka. Bermula dari situ ayahnya melarang lagi mereka mencari kakaknya
dan beranggapan dia tak pernah wujud dalam keluarga ini. Tidak ada seorang pun
ahli keluarganya yang berani melawan kata – kata ayahnya itu malah ibunya juga
telah patah hati dengan tindakan anak sulungnya itu. Namun Ijat memasang hasrat
untuk terus mencari kakaknya secara diam – diam.
Kini setelah menamatkan pengajian di tingkatan enam,
sambil menunggu untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading, Ijat bekerja
sambilan di sebuah pasaraya. Sewaktu di pasaraya tempat kerjanya itu juga dia
terserempak dengan Nora kawan karib kakaknya yang telah berjaya mendapatkan
maklumat tentang alamat tempat tinggal terkini kakaknya. Menurut Nora hanya
alamat itu sahaja yang dia dapat ketika berjumpa kali terakhir dengan Nurul
pada tahun lepas, dia sendiri tak pernah ke rumah Nurul. Bagi Ijat cukuplah
walau sekadar alamat, sekurang – kurangnya masih ada sedikit pelungnya untuk
bertemu semula kakaknya. Dengan perasaan yang teruja dan berharap agar kakaknya
masih lagi tinggal di alamat tersebut maka dia secara diam – diam tanpa
pengetahuan sesiapa pun telah membuat keputusan untuk mengambil cuti dan terus
bertolak ke Kedah.
Bersambung...